Gentle Sangat Lah Tu~

Published by ~amatullahdemalihah~ under on Sunday, October 10, 2010


“Err sir, ladies first”. Berdesing telinga mendengar ayat ‘ladies first’. Mungkin bagi orang lain nampak sangat gentle, tapi bagi ana itu cuma alasan. Alasan untuk menangguhkan pembentangan bagi subjek Islamic Worldview. Bukan tidak suka didahulukan tetapi sangat tidak berkenan dengan sikap yang ditonjolkan. Imbasan daripada sirah para anbiya’, frasa ini tidak pernah sekali pun digunakan. Nabi Adam a.s tidak pernah meminta Allah s.w.t supaya Hawa diciptakan terlebih dahulu. Dengan alasan ‘ladies first’. Nabi Ismail tidak pula menyuruh ayahnya Ibrahim a.s menyembelih ibunya, Hajar bagi mendahulukan perempuan. Dalam sirah Nabi Nuh a.s pula, langsung baginda tidak ungkapkan frasa ini kepada isterinya untuk menaiki kapal walaupun pada masa yang sama baginda berusaha untuk memujuk. Baginda Rasulullah s.a.w juga tidak pernah meminta Jibril a.s untuk pergi ke rumah Khadijah dan berjumpa Khadijah semata-mata untuk memberikan wahyu yang pertama, juga dengan alasan “ladies first lah Jibril”. Tidak pernah!!! Apa jua ujian, cabaran atau tugasan yang Allah berikan, mereka tidak pernah menolak kepada perempuan. Ini baru namanya ‘Gentle’. Minta maaf sangat-sangat jika ada sesiapa yang terasa, tapi ana agak yakin yang berkenaan tidak akan terasa kerana yang berkenaan tersebut tidak tahu berbahasa melayu . Bagi yang tidak terasa, jadikan coretan ini sebagai pengajaran kita bersama.

WaLlahu Ta'alaa A'lam


Terima Kasih Allah~

Published by ~amatullahdemalihah~ under on Sunday, October 03, 2010





Sedari mula

Jejak kaki tidak pernah gagah

Jangankan berjalan, berpijak pun tak bertapak


Sedari mula

Sebutan kata tidak pernah betul

Jangankan bercakap, bersuara pun tak berbahasa


Sedari mula

Hidup ini tidak pernah bermakna

Jangankan berfikir, melihat pun tak berwarna


Namun sedari mula juga

Itu semua tidak pernah direlakan

Ayah dan mama yang dicintai


Terima kasih untuk segala-galanya

Minta maaf atas semuanya

Semoga diberkati dari awal hingga ke akhirnya

Semoga diredhai dari awal hingga penghujungnya


Terima kasih Allah…

Berikan ayah dan mama untuk kami…

Uhibbukuma Fillah~ Mama n Ayah (^_^)









Saat Dhuha

Published by ~amatullahdemalihah~ under on Monday, September 20, 2010



Saat Dhuha itu

Munculnya Sang Mentari masih di timur

Ligat bercerita dengan Sang Kumulus yang sarat

Bertemankan Sang Pawana yang ceria

Sementara itu, Sang Bumantara hanya memerhati dari jauh


“Itu bunyi apa, Sang Mentari??” tanya Sang Kumulus

“Oh, itu bunyienjin dengkuran” jelas Sang Mentari

“Wah! Rupanya hamba itu sedang berlayar jauh…” Sang Kumulus menunding ke arah si Muzammil

"Jauh ke pulau kapuk!!!” tambahnya

Kelihatan Si Muzammil tersenyum puas di atas keci lembek nan mambu


Bola dunia terus berputar

Mereka membelek lagi dunia rungkuh

“Lihat! Hamba itu sedang bergelut dengan rezeki. Sungguh hebat!” Sang Pawana pula bersuara

“Alangkah ruginya, timbangan mizannya masih belum terisi” keluh Sang Kumulus pula

“Benarkah belum??” tanya Sang Pawana meminta kepastian

“Masakan tidak! Saya belum lagi melihat kamu digetarkan oleh Hamdalahnya” terang Sang Kumulus

Sang Pawana menganguk tanda setuju


"Bacaan Alhamdulillah itu memenuhi timbangan al-Mizan…" (Hadith sahih Muslim)

Maka mengapa mereka tidak bersyukur? (36:73)

Biarkanlah mereka makan dan berseronok serta dilalaikan oleh angan-angan mereka, kelak mereka akan mengetahui (15:3)


Saat dhuha itu

Ramainya yang rugi

Bagi yang beruntung, alangkah bertuahnya!!!


“Barangsiapa menjaga Solat Dhuha, maka dosanya akan diampuni walau sebanyak buih di lautan” (H.R Tarmizi Ibnu Mazah dan Ahmad)

“Barangsiapa yang melaksanakan solat Subuh berjemaah kemudian duduk berzikir untuk Allah sampai matahari terbit kemudian dilanjutkan dengan Solat Dhuha dua rakaat maka baginya seperti pahala haji dan umrah sepenuhnya, sepenuhnya, sepenuhnya” (H.R Tarmizi)

Dari Abdullah bin Amr bin ‘Ash, ia berkata “Rasulullah SAW mengirim pasukan perang, lalu pasukan itu mendapatkan harta rampasan perang yang banyak dan cepat kembalinya mereka. Maka Rasululla SAW bersabda, “Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang lebih cepat selesainya perang, lebih banyak memperoleh harta rampasannya dan cepatnya kembali dari medan perang??? Iaitu orang yang berwudhu’ kemudian menuju ke masjid untuk mengerjakan solat sunat Dhuha, dialah yang lebih cepat selesai perangnya, lebih banyak memperoleh harta rampasan, dan lebih cepat kembalinya (H.R Ahmad)






Mengapa berkira-kira???

Published by ~amatullahdemalihah~ under on Saturday, August 14, 2010




Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah dalam sedar kita sama-sama berada dalam kebaikan yang telah Allah berikan kepada kita. Terlalu banyak rasanya kebaikan demi kebaikan yang diterima setelah kita persembahkan seberapa banyak maksiat demi maksiat sepanjang dalam tempoh hidup ini. Astaghfirullahal 'azim.

Isu berkira-kira
ni bukanlah berkaitan dengan pengiraan kalkulus atau anggaran statistik. Juga tidak ada kena-mengena dengan subjek matematik moden atau matematik tambahan. Tetapi isu ini sangat sinonim dengan sikap kita serta sekian banyak umat islam dalam bulan Ramadhan.

Baiklah anak-anak, mula-mula sekali, cuba kita fikir bagaimana agaknya lagak orang yang berkira-kira?

"Ah, tak payah semua pun tak pe. sikit-sikit sudaa"

ataupun

"Eh, kan saya dah buat tadi?? kali ni orang lain pulak laa"

ataupun

" satu untuk biskut, dua untuk saya, satu untuk biskut, dua saya makan"

Setuju??? Bagus!

Jangan pernah kita berkira dengan Allah. Macam mana tu ye??? Contohnya, sebelum bulan Ramadhan, ibadah wajib buat cukup-cukup je. Tu pun ada lagi yang berlubang. Masuk bulan Ramadhan, tambah ibadah puasa dan amalan sunat sikit-sikit. Sampai 10 malam terkhir, aim kat malam-malam ganjil untuk buat tahajud biar pahalanya sama dengan 1000 bulan. kan senang kerja??


Alahai sahabat, di mana ikhlas kita??? Bukankah Allah telah dan sedang memberi kita rezeki yang berterusan? mengapa pula kita perlu memilih-milih tempoh dan waktu untuk beribadah??? Kedekutnya kita.... dengan Tuhan pun mahu berkira.

Dalam satu video yang pernah ana saksikan, seorang Syeikh bernama Habib Munzir telah berkata pada para pendengarnya dalam satu majlis.

“Dialah yang Maha Baik, Dialah yang Maha Mulia. Setelah kita diberi kehidupan, diberi jasad, lantas Allah meminjamkan pula dunia ini beserta isinya, meminjamkan matahari, meminjamkan bulan, meminjamkan daratan, meminjamkan haiwan dan tumbuhan, meminjamkan air dan lautan yang kesemuanya adalah milik Allah. Kita tidak menyewanya, tidak membelinya, malah tidak pula berdoa untuk meminjamnya. Allah yang memberinya sebelum kita memintanya. Hadirin hadirat, sedemikian luasnya rahmat Ilahi, dan kasih sayangnya meleibihi semua kasih sayang…”

Subhanallah. Luar biasakan sahabat-sahabat? Siapa lagi yang sangup memberi hadiah dan pemberian yang sangat banyak untuk kita kalau bukan Tuhan kita yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Dia tidak pernah berkira dengan kita. Jadi, mengapa pula kita mahu berkira-kira dengan Nya?

Namun ana akui, itu adalah lebih baik daripada golongan yang langsung tidak menyedari atau buat-buat tak sedar dengan kehadiran tetamu mulia. Pernah suatu ketika, ana berbulan Ramadhan di kampus Gombak. Sedang kalut bersiap-siap untuk ke masjid, ana jadi terpegun seketika. Melihat keadaan sekeliling, sahabat-sahabat yang mendiami di bilik yang sama kelihatan masih lagi leka dengan movie, Facebook, study dan berbual-bual. Ana jadi terfikir, "betul ke sekarang ni bulan Ramadhan??" Mana tahu terSyokSendiri sedang berada di bulan Ramadhan. Ketika itu tidak ada tanda-tanda yang kelihatan untuk mereka bangun dan bersiap untuk menunaikan solat MAGHRIB... apatah lagi Tarawikh.

Sahabat-sahabat, Ibadah itu bukannya untuk Allah, tapi untuk kita. Makanan rohani agar dapat membesar seiring dengan tumbesaran fizikal kita. Mana aci jika fizikal kita mendapat makanan yang mencukupi malah melebihi tetapi rohani kita langsung tidak diberi makanan. Jadi, bukanlah tujuan penulisan ini untuk membantutkan prestasi ibadah dalam Bulan Ramadhan. Atau menyuruh sahabat lain menunda amal ibadah kepada bulan-bulan yang lain. Bukan! Tapi hadirkanlah rasa ikhlas dalam diri, gunakan masa dalam bulan ini sebaik mungkin untuk berubah serta tanamkan azam untuk terus istiqamah dalam beramal sebaik Ramadhan berundur kelak.Semoga Ramadhan kali ini adalah yang lebih baik dari yang sebelumnya~

WaLlahu Ta'alaa A'lam




_fAstaQim kaMa UmiRt_

~Seperti Dedaun Ini

Published by ~amatullahdemalihah~ under on Saturday, July 03, 2010


Seperti dedaun ini

Aku bermula dengan pucuk Rahmat

Bertunas di makmal Tarbiyyah

Disiram dan dibaja dengan sesungguhnya

Bersama campuran tepu Ilmu dan Ukhwah

Diberikan pencahayaan Rezeki yang secukupnya

Agar proses pertunasan berlaku dengan jayanya

Seperti dedaun ini

Aku juga hidup dengan Fitrah

Mengikut manual hidup Al-quran dan Sunnah

Mengamalkan fotosintesis Ibadah dan Islam

Merealisasikan pendebungaan Senyum dan Salam

Mempraktkkan respirasi Soleh dan Musleh

Meregulasikan Amar Makruf dan Nahi Munkar

Seperti dedaun ini

Aku kini tergantung asing

Merasa diri kian jauh dan futur

Menggalas sendiri bebannya Amanah

Merintih suramnya amat cuaca Dakwah

Mengadu mendungnya awan kelabu Jihad

Hanya berpaut pada tangkai Redha dan Tawakkal

Bertahan pada teguhnya dahan Syariat

Seperti dedaun itu

Aku sedih melihat

Banyaknya yang menguning dan mengering

Mereka terbang tanpa arah seiring kencangnya ribut maksiat

Berpusing-pusing dalam taufan keasyikan

Akhirnya gugur jatuh menyembah bumi yang fana

Seperti dedaun itu

Aku kagum dengannya

ia masih hijau walau dicicip syaitan beluncas

Ia masih tergantung walau kepompong tangungjawab Amanah bergayutan

Ia masih segar walau dipukul kerasnya butir ujian hujan

Ia masih harum walau disembur fitnah asid benzoik si pengawet

Lantas hati pun mendamba teduhan rendang Doa dari murabbi

Mengharap embun Ikhlas Rabithah dari sahabat dan teman

Agar sama-sama setia berpaut pada pohon Hidayah ini

Buat sahabat xGen yg disayangi~

Selamat menggegarkan kampus antum...

.:X-Gen Bersama Menggegar Dunia:.